Alhamdulillah,sehingga kini kita dapat melakukan ibadah puasa dengan keadaan baik dan dipermudahkan oleh Nya, semoga kita sentiasa dapat menyempurnakan ibadah puasa ini sehingga akhir bulan Ramadhan nanti. Dalam kita mengerjakan ibadah puasa ,janganlah pula kita lupa dan lalai untuk mengerjakan ibadah yang utama iaitu solat, kalau kita sekadar menahan diri kita dari lapar dan dahaga tetapi tidak solat serupa makan nasi tidak berlauk iaitu tidak cukup dan kosong ,tidak mendapat apa-apa makna.
Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu diakhirat kelak oleh Allah SWT berbanding dengan amalan yang lain, sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna barulah dihitung pula amalan yang lain.
Orang yang hatinya lalai semasa solat meskipun lidahnya menyebut lafaz zikir dan ayat Al Quran, namun gerak lidahnya itu bukan dari dorongan hati, ianya bergerak kerana kebiasaan kita melakukannya dan hatinya melayang pada perkara-perkara dunia dan jiwanya hanya memikirkan perkara diluar batasan solat.
Disini ada beberapa tips yang dapat kami kongsikan daripada salah satu buku Tazkirah, bagaimanakah cara kita ingin khusyuk di dalam solat.
Hayati Makna Ayat
Iaitu kita cuba memahami maksud dan erti ayat yang dibaca supaya kita dapat menghayati maksud sebenar apa yang kita baca.
Bersemuka dan Bersoal Jawab dengan Allah SWT
Hendaklah seseorang membayangi ketika seolah-olah ia baru dibangkitkan dari kubur dan sedang bersoal jawab dengan Allah SWT.
Ingatlah bahawa Solat menghubungkan kita dengan hari Akhirat
Solat adalah perkara yang amat mustahak menentukan nasib kita diakhirat kelak dan inilah kehidupan yang lebih baik dan kekal selamanya. Solat lah bekalan yang utama akan kita bawa di akhirat kelak.
Melahirkan rasa Gerun terhadap Allah SWT
Apabila seseorang mengucapkan Allahu Akbar bermakna Allah itu Maha Besar seharusnya kita merasa gerun padaNya, bayangkan kalau kita berdepan dengan ketua atau raja kita akan merasa gentar inikan pula kita berhadapan dengan Allah yang Maha Besar lagi Maha Kuasa.
Mengharap limpah rahmat dan Sifat 'Lutfillah'
Iaitu rasa penuh pengharapan atau meletakkan pergantungan terhadap Allah SWT, Allah mempunyai sifat 'Lutfillah' iaitu sifat lemah lembut dan karamah serta luas nikmat Nya. Yakinkanlah diri kepada Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani hamba-hamba Nya.
Elak gangguan solat dengan membatasi Pandangan
Iman al-Ghazali menggariskan beberapa kaedah antaranya dengan kita memejamkan mata ketika solat kerana hati yang lalai sangat mudah mengikuti pandangan mata.
Sebaik-baiknya berdiri berhampiran dinding atau tembok yang membatasi penglihatan mata dan memandang kearah tempat sujud sahaja.
Menghadapi Allah SWT sebagai seorang Pesalah
Datang menemui Tuhan dengan kesedaran sebagai seorang yang banyak melakukan kesalahan adalah orang yang memperlihatkan keinsafan yang sebenar sebagai seorang hamba, mengharapakan agar Allah SWT menerima taubat serta mengampuni dosa-dosa yang lalu.
Dorong Hati untuk mendekati Khusyuk
Apabila kita terleka dan lalai mengingati Allah ketika solat maka tolonglah hati itu dengan memberi peringatan kepadanya bahawa Allah Maha mengetahui kedudukan hati kita, supaya kita dapat mengawal hati dan perasaan kita hanya untuk Allah SWT.
Janganlah kita lalai dan lupa ketika bersolat sehingga ada yang tidak menyedari berapa rakaat solat yang sedang dikerjakan disebabkan fikiran dan hati melayang ditempat lain, hanya perlukan sedikit waktu untuk kita menyembah dan mengingatinya sahaja, semoga perkongsian ini dapat memperbaiki diri kami dan kita semua agar sentiasa Khusyuk dalam melakukan ibadah Solat.














